Solat malam atau Solat Tahajud adalah satu peluang keemasan
ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan kita dengan
Allah.
Kesusahan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah
melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia menjadi satu kenikmatan
pula. Malah, bagi yang dapat menghayatinya mereka akan berasa kerugian
besar jika tertinggal daripada mengerjakan solat berkenaan.
Pada sepertiga malam pintu langit terbuka luas menerima taubat
hamba-Nya. Malaikat membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat
bagi menyiram api neraka yang sedia menanti untuk membakar tubuh manusia
di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Allah s.w.t sayang kepada
lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan akan
membangunkan isterinya manakala kalau isterinya enggan, dipercikkan air
di wajahnya. Allah s.w.t sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian
mengerjakan solat dan membangunkan suaminya manakala jika suaminya
enggan, dipercikkan air ke wajahnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Amalan solat malam bukan hanya diamalkan Nabi Muhammad s.a.w,
malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah
mengerjakan solat tahajud bukanlah dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad
s.a.w semata-mata.
Saidina Umar al-Khattab menyatakan kelebihan solat malam dengan
berkata: “Sesiapa mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk
nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di
akhirat. Kurniaan di dunia ialah:-
* Jauh daripada segala penyakit
* Lahir kesan taqwa pada wajahnya
* Dikasihi sekelian mukmin dan seluruh manusia
* Percakapannya mengandungi hikmah (kebijaksanaan)
* Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)
Sementara empat perkara di akhirat ialah:-
* Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
* Dipermudahkan hisab
* Cepat melalui sirat al-Mustaqim seperti kilat
* Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.”
Solat malam adalah solat yang penting antara solat-solat sunat
yang lain. Rasulullah S.A.W pernah ditanya, “Solat apakah yang paling
utama selepas solat lima waktu?” Beliau menjawab dengan tegas, “Solat
malam!” (Hadis Riwayat Muslim).
Beberapa keutamaan yang diperoleh oleh para pengamal solat malam adalah seperti berikut:
1. Tercatat sebagai orang yang baik dan berhak mendapat anugerah rahmatnya (Surah adz-Dzariyat ayat 15 hingga 18).
2. Mendapat penyempurnaan di atas kekurangan dalam ibadat
wajibnya, hingga dapat menempati darjat yang terpuji (Surah al-Israk
ayat 79).
3. Mendapat pujian daripada Allah (Surah al-Furqan ayat 63 hingga 64).
4. Dilihat sebagai orang yang beriman (Surah as-Sajadah ayat 16).
5. Darjatnya dibezakan dengan orang yang malas (Surah az-Zumar ayat 9).
Beberapa petikan hadis berikut menyebut beberapa fadilat dan
keindahan lain solat malam. Antaranya adalah hadis daripada Abdullah bin
Amr bin Al-‘Ash yang berbunyi, Rasulullah S.A.W berkata kepadaku,
“Abdullah, jangan jadi seperti polan yang pernah mendirikan solat malam
kemudian meninggalkannya,” (Hadis Riwayat Bukhari-Muslim).
Salman al-Farisi menceritakan, Rasulullah S.A.W berkata, “Kerjakanlah
solat malam, kerana itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu,
jalan mendekatkan diri kepada Tuhan, penebus kesalahan, pencegah dosa,
serta penghindar penyakit.”
Salim bin Abdullah bin Umar bercerita kepada Hafshah, isteri
Rasulullah S.A.W, “Ketika Rasulullah S.A.W masih hidup, biasanya apabila
seseorang bermimpi, dia menceritakan mimpinya itu kepada Rasulullah
S.A.W. Saya berharap mendapat mimpi supaya dapat menceritakannya kepada
beliau. Semasa masih muda, biasanya saya tidur di masjid. Suatu ketika,
saya bermimpi seakan-akan dua malaikat memegang dan membawaku ke neraka
yang dibina seperti perigi dan memiliki tanduk. Di dalam perigi itu ada
beberapa orang yang saya kenal. Saya lalu berkata, “Saya berlindung
kepada Allah dari neraka.” Saya bertemu dengan malaikat lain yang
berkata padaku, “Jangan takut.” Mimpi ini disampaikan oleh Hafshah
kepada Rasulullah S.A.W, dan beliau berkata, “Sebaik-baik lelaki adalah
Abdullah ketika mahu solat malam.” Selepas itu, dia hanya tidur sebentar
sahaja di malam hari.
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Syaitan mengikat
tengkuk kamu yang tidur dengan tiga ikatan. Syaitan menepuk pada setiap
ikatan, ‘Bagimu malam yang panjang, maka tidurlah.’ Apabila kamu bangun
dan berzikir mengingat Allah, maka terbukalah satu ikatan. Apabila kamu
berwuduk, terbuka satu lagi ikatan. Apabila kamu solat, terbukalah satu
ikatan lagi. Maka di pagi hari, kamu segar dan bersemangat. Sekiranya
tidak, di pagi hari tentu kamu berasa lesu dan malas.”
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Tuhan kita turun
setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir, dan
menyatakan, ‘Siapa yang berdoa kepadaku, pasti aku kabulkan. Sesiapa
yang memohon kepadaku, pasti aku beri, dan sesiapa yang memohon ampun
kepadaku, pasti aku ampuni.’” (Hadis Riwayat Al-Jama’ah).
‘Amr bin Al-‘Ash meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata,
“Sedekat-dekat hamba kepada Allah adalah pada tengah malam yang
terakhir. Apabila kamu dapat menyertai golongan orang yang berzikir
mengingat Allah pada saat itu, maka lakukanlah.” (Hadis Riwayat
Al-Hakim).
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Apabila
seseorang membangunkan isterinya pada waktu malam, lalu kedua-duanya
solat dua rakaat, maka mereka tercatat dalam golongan orang yang selalu
berzikir.” (Hadis Riwayat Abu Daud).
Tidak ada komentar:
Posting Komentar